TV Berkesan Tipu Imaginasi Remaja


PENGARUH media memang diketahui umum kerana ia bukan sekadar alat komunikasi atau penyebar maklumat malah sebagai transmisi budaya dan membantu proses sosialisasi masyarakat. Banyak kajian pakar komunikasi dan psikologi membuktikan mesej atau maklumat media sama ada elektronik atau cetak, meninggalkan kesan kepada orang ramai.

Malah, media elektronik dikatakan mampu mempengaruhi kehidupan harian kanak-kanak dan remaja. Keadaan ini lebih serius apabila ditokok tambah dengan pengaruh persekitaran, kekeluargaan dan sifat semula jadi seseorang itu. Pengaruh paling ketara media elektronik ialah melalui video, filem dan TV. Sama ada suka atau sebaliknya, memang ada kesan negatif daripada media elektronik sehingga menyebabkan sesetengah remaja dan kanak-kanak bertindak agresif. Televisyen, misalnya, dapat memberikan satu gambaran yang menceritakan melalui suara, gambar dan gerakan kerana ia kombinasi dua alat penerima iaitu pandang dan dengar. Ini menyebabkan kanak-kanak amat sensitif dengan televisyen.

Di Malaysia, dua hingga lima juta kanak-kanak dan golongan remaja terdedah kepada segala maklumat dan khayalan melalui televisyen. Justeru, tidak hairanlah kebanyakan kanak-kanak dan remaja bertingkah laku seperti yang terdapat dalam watak atau mesej yang disampaikan media elektronik.

Interaksi golongan kanak-kanak dan remaja dengan media elektronik lebih intim dan kekerapannya tinggi berbanding unsur lain sama ada ibu bapa dan guru. Malah, tidak keterlaluan sesetengah pengkaji media massa menganggap media elektronik sebagai “gula-gula getah” dan televisyen dikatakan kafeteria yang membolehkan mereka (kanak-kanak dan remaja) memilih menu yang disukai.

Pendedahan berleluasa kepada program di televisyen menimbulkan kebimbangan di kalangan ibu bapa dan masyarakat. Tendesi untuk merosakkan pemikiran kanak-kanak dan remaja semakin hebat diperkatakan terutama dalam dunia siber kini. Persoalannya, mengapa kanak-kanak dan remaja begitu tertarik dengan media elektronik dan sanggup meninggalkan rakan di padang permainan semata-mata untuk menatap rancangan dan watak yang mereka minati.

Pakar komunikasi, Eleanor E Maccoby dalam bukunya, “Why Do Children Watch TV” memberitahu, ia berpunca daripada kepuasan yang didapati kanak-kanak menerusi fantasi berikutan kegagalan untuk mendapat kepuasan hakiki dalam dunia nyata. Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat mendapati kanak-kanak dalam lingkungan tiga hingga empat tahun memperuntukkan satu perenam daripada masa mereka menonton televisyen. Apabila umur meningkat lima hingga lapan tahun, masa yang diperuntukan meningkat 40 peratus dan bertambah lagi 50 peratus apabila mereka berusia 12 tahun. Memang tidak dinafikan, ada elemen positif dalam program televisyen. Namun, kadang kala faktor itu tenggelam disebabkan mesej ganas yang ditonjolkan lebih ketara dan mendapat perhatian.

Unsur keganasan menimbulkan kesan negatif kepada golongan kanak-kanak. Peringkat keganasan boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu kesan serta merta terhadap saraf, emosi, moral dan daya berfikir.
Sering pihak tertentu menimbulkan persoalan, apakah kesan dan pengaruh program TV terhadap kanak-kanak. Apakah keganasan dan jenayah yang dipancarkan itu mempengaruhi mereka membabitkan diri dalam kegiatan ganas?

Namun, kajian ahli sosiologi dan komunikasi mendapati memang ada program televisyen merangsang emosi dan pemikiran kanak-kanak untuk melakukan keganasan dan jenayah. Salah satu yang popular ialah Teori Catharsis yang mendakwa rancangan yang ditonton di televisyen salah satu cara melepaskan keganasan yang terkongkong. Keganasan dikatakan wujud oleh unsur psikologi ketika menonton sesuatu program itu.
Apabila memperkatakan mengenai tingkah laku akibat daripada menonton televisyen, pertama yang terfikir ialah apakah program televisyen berbentuk keganasan itu menjadikan seseorang kanak-kanak liar atau ganas?

Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat mendapati dalam satu kes, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mencadangkan kepada ayahnya memberikan gurunya sebungkus gula-gula beracun. Perbuatan itu dilakukan kerana kanak-kanak itu marah berikutan guru berkenaan memberi markah rendah kepadanya dalam peperiksaan. Apabila ditanya si ayah siapa yang mengajarnya berbuat demikian, si anak pantas menjawab, “Saya menonton satu adegan di televisyen”.

Di Australia, sebuah akhbar tempatan melaporkan lima kanak-kanak berusia lima tahun meninggal dunia kerana memikirkan mereka boleh terbang seperti apa yang disaksikan dalam rancangan Superman. Peristiwa yang sama pernah berlaku di Sabah beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, kanak-kanak yang memakai baju Superman itu bernasib baik kerana mereka hanya patah kaki kerana mahu terbang dari tempat tinggi. Kadang kala, kanak-kanak tidak dapat membuat keputusan yang waras kerana kebanyakan mereka percaya secara total apa yang ditonton di televisyen. Mereka langsung tidak mempedulikan elemen “tipu” atau “olok-olok” yang dilakukan pengarah sesebuah siri seperti Superman.

Dalam banyak kes, kanak-kanak menonton bersama rakan sebaya mereka tanpa bimbingan ibu bapa. Jadi, rujukan mereka adalah rakan sendiri yang juga mempunyai pemikiran yang cetek. Justeru, apabila percaya Superman boleh terbang di udara, mereka akan mencuba termasuk memakai kain seperti hero pujaan mereka tanpa memikirkan kesan graviti atau tekanan udara yang boleh menyebabkan mereka jatuh ke bawah. Begitu juga dengan rancangan gusti yang memaparkan adegan lasak termasuk tumbuk, terajang dan memukul dengan kerusi besi. Mereka kagum kerana orang yang kena pukul dapat pulih dalam tempoh yang singkat selepas dibelasah begitu teruk.

Keadaan itu menimbulkan sifat ingin tahu, apatah lagi kanak-kanak memang mempunyai cita rasa itu dalam proses pembesaran. Bagi menguji atau membuktikan apa yang dilihat dalam rancangan gusti itu, mereka mencuba di kalangan rakan sebaya. Akibatnya, ada kanak-kanak yang cedera. Kajian Buletin Keselamatan Masyarakat di Amerika Syarikat mendapati lebih sejuta kes jenayah membabitkan kanak-kanak, kebanyakan berpunca daripada pengaruh media elektronik.

Dalam jenayah seks pula, kajian mendapati 50 peratus masa menonton kanak-kanak ialah terhadap program orang dewasa. Ini membabitkan rancangan yang mengandungi babak seks, keganasan dan kekerasan. Dalam perkembangan yang sama, kajian yang dilakukan di England mendapati gadis-gadis yang menonton masalah kehidupan orang dewasa menganggap perkahwinan itu sesuatu yang membebankan sehingga ramai yang enggan berkahwin dan lebih selesa melakukan hubungan seks bebas.

Kajian itu terbukti benar kerana paparan yang keterlaluan dalam rancangan seumpama itu menjadikan remaja menganggap seks rambang sesuatu yang menyeronokkan, apatah lagi mereka tidak perlu bimbang untuk memikuk tanggung jawab.

TV? Apa kesannya terhadap perkembangan kanak – kanak

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s