MMM tawar kereta elektrik di Malaysia

Keizo Ono (kanan) dan Takayuki Yatabe bersama kereta elektrik i MiEV di Subang dekat Kuala Lumpur

Keizo Ono (kanan) dan Takayuki Yatabe bersama kereta elektrik i MiEV di Subang dekat Kuala Lumpur

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) akan memperkenalkan kereta elektrik, i MiEV (Mitsubishi Innovative Electric Vehicle) kepada wakil-wakil kementerian berkaitan, dalam usaha mempromosi penggunaan kenderaan bertenaga alternatif itu di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Keizo Ono berkata, model i MiEV, yang boleh memuatkan empat orang, dijangka dilancarkan di Jepun pada 2009 sebelum diperluas ke beberapa pasaran utama dunia pada tahun 2010.

Pasaran Malaysia ujarnya, masih belum dipastikan kerana banyak lagi isu-isu berkaitan insentif cukai dan dasar kerajaan perlu diperhalusi sebelum boleh menyaksikan kereta elektrik itu dijual di negara ini.

”Oleh itu, kami akan mengambil peluang dengan adanya satu unit i MiEV yang dibawa khas untuk dipandu uji bukan sahaja kepada wakil media tetapi juga wakil-wakil kerajaan Malaysia,” katanya pada sesi pandu uji kereta tersebut di sini, semalam.

Kereta elektrik, i MiEV tersebut akan menjadi satu tarikan utama pada Persidangan Teknologi Petroleum Antarabangsa (IPTC) di sini dari 3 hingga 5 Disember ini.

Persidangan IPTC ialah antara persidangan teknikal paling menonjol di dunia untuk industri tenaga. Bertemakan ‘Memenuhi Keperluan Tenaga Ekonomi Dunia yang Berkembang’, persidangan itu akan memberi tumpuan kepada pemuliharaan tenaga, perubahan iklim dengan tenaga alternatif.

Sementara itu, wakil Pejabat Pengurusan Perniagaan i MiEV dari Jepun, Takayuki Yatabe berkata, sebanyak 40 buah kereta tersebut sedang diuji di semua bandar raya utama di Jepun pada masa ini, termasuk beberapa lagi di Eropah dan Amerika Syarikat.

Dalam konteks Malaysia, beliau berkata, sokongan daripada kerajaan adalah penting pada peringkat awal pembangunan kereta elektrik ini.

”Ini kerana selain isu berkenaan insentif dan cukai jualan, penggunaan kereta elektrik perlu dilengkapkan dengan infrastruktur sokongan seperti pusat mengecas bateri,” ujarnya.

Menurut beliau, Mitsubishi i MiEV beroperasi dengan pek bateri lithium-ion.

Katanya, bateri itu boleh dicaj untuk tempoh sekurang-kurang tujuh jam menggunakan arus 200-volt yang membolehkan i MiEV dipandu dalam jarak 160 kilometer (km) dengan kelajuan mencecah 130 kilometer sejam.

Advertisements

TESLA MOTORS memperkenalkan Model S versi Elektrik

Tesla Motors baru-baru ini telah memperkenalkan kereta elektrik pertama keluarannya, Model S Elektrik. Kereta sedan mempunyai 5 tempat duduk ini bakal disasarkan kepada keluarga dengan pendapatan sederhana. Menurut Elon Musk, Pengerusi dan CEO Tesla mengatakan model S Elektrik ini akan menemui pengguna Amerika selewat-lewatnya pada 2011.

Tidak seperti kenderaan jenis hidbrid, Tesla Model S Elektrik ini tidak mengunakan sebarang bahan api fosil. Sebaliknya, kereta ini dijana dengan mengunakan bateri Lithium Ion. Apa yang menarik sekali ialah, bateri tersebut dibina dalam bentuk pek-pek kecil bagi memudahkan penguna mengecas semula di rumah atau ditempat kerja. Bateri ini boleh dicaj pada output 120V, 240V (standard di Malaysia) dan 480V.

Menurut Tesla Motors, bagi setiap pengecasan penuh, bateri lithium ion ini mampu membawa kereta bergerak sejauh 482 Km, lebih kurang sama seperti mengisi minyak penuh untuk kereta biasa. Apa yang menakjubkan, kereta ini mampu mencapai kelajuan maksimum 210 km/j dan hanya memerlukan 6 saat untuk memecut dari 0 ke 100km/j.

Potongan cukai untuk kenderaan mesra alam.

Harga model S elektrik belum lagi dimuktamadkan tetapi ia mungkin mencecah AS$ 57,000. Namun, pengguna di Amerika akan menerima dari segi potongan cukai sebanyak AS$ 7000 sebagai inisiatif kerajaan Amerika Syarikat dalam mengalakkan penggunakan kenderaan mesra alam.

Bagi kebanyakkan orang, harga yang dicadangkan mungkin masih tinggi tetapi Elon Musk meminta pengguna melihat dari sudut lain seperti menjimatan dari segi kos bahan api yang harga tidak menentu disamping kos penyelengaraan yang dijamin lebih rendah berbanding kereta biasa untuk jangka masa yang panjang.

Apabila model S ini dipasarkan kelak, ia diharap mampu dijual pada kadar 20000 unit setahun, tambah Elon Musk lagi.

,

Kereta Elektrik : Apa pendapat anda?

Abdullah Ahmad Badawi gembira selepas memandu uji kereta elektrik di Kementerian Kewangan, Putrajaya

Abdullah Ahmad Badawi gembira selepas memandu uji kereta elektrik di Kementerian Kewangan, Putrajaya

KUALA LUMPUR 22 Julai – Pengeluaran kereta elektrik oleh Proton di Malaysia dilihat sebagai satu kejayaan besar yang bakal dicapai oleh negara khususnya dalam usaha kerajaan mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga petrol.

Beberapa orang pakar ekonomi ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini melihat langkah yang bakal diambil Proton itu sebagai satu tindakan yang amat baik dan bakal memberi impak positif kepada rakyat serta industri pemotoran negara.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, pada ketika rakyat dibelenggu dengan kenaikan harga petrol yang cukup membebankan, kerajaan telah tampil dengan idea yang cukup baik dan sihat apabila mengarahkan Proton mengeluarkan kereta elektrik.

Katanya, seiring dengan matlamat kerajaan untuk membantu mengurangkan beban rakyat, Proton juga perlu memastikan pengeluaran kereta elektrik itu kelak mampu memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat khususnya golongan sederhana dan bawah.

“Sehubungan itu, Proton perlu mengkaji secara mendalam mengenai hal ini khususnya kumpulan sasaran penjualan kereta tersebut agar hasrat kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat tidak tersasar,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengarahkan Proton mengeluarkan kereta elektrik di Malaysia selewat-lewatnya tahun depan bagi mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel.

Kereta yang menggunakan bateri yang perlu dicas tenaga elektrik selama enam jam di rumah itu mampu dipandu sejauh 320 kilometer. Kuasanya dapat bertahan sehingga 36 jam. Kos untuk menggerakkan kereta itu hanya 18 sen sekilometer.

Menurut Haim, Proton juga disarankan agar meluaskan pasaran penjualan kereta bukan sahaja di negara ini malah di peringkat antarabangsa sebagai usaha meningkatkan pengeluaran yang akan dapat membantu mengurangkan kos pembuatan kereta elektrik itu.

Jelasnya lagi, faktor-faktor tersebut diyakini akan dapat mempengaruhi harga kereta tersebut di pasaran dan sekali gus Proton mampu menawarkan harga yang berpatutan bersesuaian dengan kemampuan rakyat Malaysia.

“Proton perlu ada strategi yang baik dan perancangan yang rapi jika mahu melihat idea ini dapat direalisasikan pada tahun depan,” ujarnya.

Tambah beliau, penghasilan kereta elektrik itu juga dapat memberi kesan yang baik kepada industri hiliran dan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat.

Pengerusi Pusat Dasar Kajian Umum, Tan Sri Ramon Navaratnam pula menyifatkan langkah yang diambil oleh kerajaan sebagai satu kejayaan yang besar dan penghasilan kereta elektrik itu merupakan satu pengenalan baru yang bakal memberi kesan positif kepada rakyat.

“Saya amat mengalu-alukan langkah yang diambil oleh kerajaan ini kerana ia diyakini akan dapat membantu rakyat berjimat cermat,” katanya.

Beliau memberitahu, kereta elektrik tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi berbanding kereta yang menggunakan petrol.

Katanya lagi, idea tersebut sangat praktikal dalam situasi negara dibelenggu dengan kenaikan harga petrol yang tinggi.

Malah menurut Ramon, usaha itu juga bakal memberi ‘nyawa’ yang lebih panjang kepada Proton untuk bersaing di dalam industri pemotoran.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha’ani Abdullah ketika dihubungi berkata, pengeluaran kereta elektrik oleh Proton akan dapat membantu rakyat mengurangkan kos hidup yang semakin meningkat.

“Kereta elektrik tidak memerlukan pembiayaan penyelengaraan yang tinggi berbanding kereta petrol yang enjinnya lebih kompleks untuk dijaga.

“Malah pengguna juga tidak perlu mengisi minyak pada setiap hari kerana kita hanya perlu mengecas baterinya di rumah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada syarikat pengeluar kereta tempatan itu agar mengenakan harga kenderaan tersebut pada paras yang berpatutan bagi membolehkan setiap lapisan masyarakat mampu memilikinya.

Tarif Elektrik Kekal Sehingga Akhir Tahun

Tarif Elektrik Kekal Sehingga Akhir Tahun

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) — Purata kadar elektrik akan dikekalkan kepada 31.31 sen/kWh sehingga akhir tahun 2009.

Ini adalah sejajar dengan keputusan kerajaan bahawa harga gas sedia ada RM10.70/MMBtu dikekalkan, demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Pada pagi ini, katanya kabinet telah membincangkan cadangan oleh Unit Perancangan Ekonomi untuk menyemak semula harga gas bagi sektor elektrik di Semenanjung Malaysia.

Katanya keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

— BERNAMA

Keselamatan Pengendalian Alatan Elektrik

Pengenalan

Elektrik adalah satu bentuk tenaga yang amat penting pada hari ini. Tanpa elektrik manusia tidak dapat melaksanakan aktiviti seharian yang sebahagian besarnya beroperasi dengan menggunakan tenaga elektrik.

Perkembang pesat era teknologi elektrik ini bermula dari era kurun ke-16 Masehi. Ramai inventor yang lahir di Eropah pada zaman revolusi. Antaranya Alessandro Antonio Volta (1745-1827), seorang ahli fizik Itali yang mencipta bateri elektrik yang mana alat pertama yang menjana pengaliran elektrisiti (Arus) secara berterusan. Seorang lagi inventor yang begitu signifikan dalam perkembangan teknologi elektrik ini ialah Adre-Marie Ampere (1775-1836), seorang ahli matematik dan fizik Perancis yang mengasas prinsip elektrodinamik. Beliau telah menjelaskan konsep arus elektrik secara spesifik dan membangunkan kaedah menilai dan mengira kuantiti arus.

Terminologi

Elektrik adalah satu bentuk tenaga yang terhasil daripada pengaliran elektron. Manakala elektrisiti boleh ditakrifkan sebagai aliran zarah bercas negatif. Zarah bercas negatif (elektron) ini mengalir di atas objek atau sesuatu yang mengkonduksikan elektrik. Elektrisiti juga dikenali sebagai Arus. Secara asasnya, elektron akan mengorbit nukleus atom. Nukleus atom ini terdiri daripada zarah bercas positif yang digelar proton dan juga zarah neutral iaitu neutron.

Teruskan membaca

339 Kemalangan Elektrik Dicatat Dari 2002 Hingga 2007

JOHOR BAHARU, 28 Feb (Bernama) — Suruhanjaya Tenaga merekodkan 339 kemalangan elektrik di seluruh negara sepanjang tahun 2002 hingga 2007.

Naib Presiden (Penghantaran) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ir Ab’llah Mohd Salleh berkata sebanyak 171 kes yang berlaku sepanjang tempoh itu melibatkan kemalangan maut manakala 168 kes tidak membawa kematian.

“Sebanyak 37 kemalangan maut dicatat setiap tahun dari tahun 2005 hingga 2007,” katanya ketika merasmikan kempen kesedaran keselamatan elektrik 2009 peringkat Negeri Johor di sini, Sabtu.

Beliau berkata statistik kemalangan maut 2002-2006 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga turut menunjukkan pelajar sekolah merupakan golongan ketiga selepas kontraktor dan pekerja sendiri yang menjadi mangsa.

Ab’llah berkata kempen kesedaran sebagaimana yang diadakan hari ini bertujuan menyalurkan maklumat dan memupuk kesedaran yang positif mengenai kepentingan menjaga keselamatan elektrik.

Beliau berkata pada tahun lepas program seumpama itu diadakan di 10 daerah di Zon Utara, Tengah, Selatan dan Timur melibatkan hampir 150 buah sekolah rendah dan menengah.

— BERNAMA