Pemberhentian pekerja industri elektronik

Trend pemberhentian pekerja diramal serius tahun depan dengan seramai 4,749 pekerja akan diberhentikan oleh 102 majikan dalam tempoh tiga bulan pertama setelah mengambil kira kelembapan ekonomi dunia.

Jumlah pemberhentian pekerja itu adalah angka rasmi yang dilaporkan oleh majikan, kebanyakannya dalam industri elektronik kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) setakat ini.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pula menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun depan ekoran keadaan ekonomi yang diramal pada suku tahun pertama dan kedua 2009.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengulas isu itu berkata, kerajaan kini dalam perancangan untuk menyediakan program latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan bagi membantu mereka mendapat pekerjaan baru.

Menurutnya, mereka yang terlibat dengan program latihan semula kendalian Kementerian Sumber Manusia itu nanti akan turut menerima elaun bulanan sepanjang tempoh latihan dijalankan.

“Selain itu, para pekerja yang diberhentikan juga harus kembali memasuki pasaran buruh kerana memang terdapat kekosongan kerja dalam negara kita sekarang ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dan Dialog Bersama Ulama dan Umara di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri mengakui wujudnya penurunan permintaan terhadap produk elektronik negara berikutan krisis ekonomi global yang dihadapi kini.

“Memang ada penurunan permintaan dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) khususnya dan ini menyebabkan sesetengah syarikat memikirkan untuk mengecilkan jumlah pekerja mereka bagi mengurangkan kos,” jelasnya.

Terdahulu di Petaling Jaya, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, pada Januari ini sebanyak 35 majikan akan memberhentikan 3,111 pekerja diikuti Februari, tiga majikan memberhentikan 1,523 pekerja manakala Mac, 64 majikan bakal memberhentikan 115 pekerja.

Beliau menegaskan, di bawah seksyen 63 Akta Kerja 1955, majikan yang ingin memberhentikan pekerja, memberhentikan secara sukarela atau sementara dan mengurangkan gaji perlu melaporkan kepada JTK sekurang-kurangnya 30 hari sebelum berbuat demikian.

“JTK akan sentiasa memantau dan meng-

ambil tindakan tegas sekiranya ada majikan yang gagal melaporkan sebarang pemberhentian pekerja,” katanya.

Subramaniam menambah, di samping mengemukakan laporan pemberhentian, majikan juga hendaklah membayar faedah pemberhentian kerja seperti ditetapkan dalam Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Kerja (Faedah-Faedah Penamatan dan Hentikerja Sementara) 1980 di bawah Akta Kerja 1955.

“Pekerja yang berkhidmat kurang daripada dua tahun perlu dibayar 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.

“Mereka yang telah berkhidmat selama dua tahun tetapi kurang dari lima tahun pula perlu dibayar 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan,” katanya.

Pekerja yang telah berkhidmat selama lima tahun atau lebih pula kata beliau, hendaklah dibayar 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.