339 Kemalangan Elektrik Dicatat Dari 2002 Hingga 2007

JOHOR BAHARU, 28 Feb (Bernama) — Suruhanjaya Tenaga merekodkan 339 kemalangan elektrik di seluruh negara sepanjang tahun 2002 hingga 2007.

Naib Presiden (Penghantaran) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ir Ab’llah Mohd Salleh berkata sebanyak 171 kes yang berlaku sepanjang tempoh itu melibatkan kemalangan maut manakala 168 kes tidak membawa kematian.

“Sebanyak 37 kemalangan maut dicatat setiap tahun dari tahun 2005 hingga 2007,” katanya ketika merasmikan kempen kesedaran keselamatan elektrik 2009 peringkat Negeri Johor di sini, Sabtu.

Beliau berkata statistik kemalangan maut 2002-2006 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga turut menunjukkan pelajar sekolah merupakan golongan ketiga selepas kontraktor dan pekerja sendiri yang menjadi mangsa.

Ab’llah berkata kempen kesedaran sebagaimana yang diadakan hari ini bertujuan menyalurkan maklumat dan memupuk kesedaran yang positif mengenai kepentingan menjaga keselamatan elektrik.

Beliau berkata pada tahun lepas program seumpama itu diadakan di 10 daerah di Zon Utara, Tengah, Selatan dan Timur melibatkan hampir 150 buah sekolah rendah dan menengah.

— BERNAMA

Advertisements