Garis Panduan Pendawaian Elektrik Di Bangunan Kediaman

Garis Panduan Pendawaian Elektrik Di Bangunan Kediaman ini disediakan sebagai panduan pendawaian kepada semua Pendawai dan Kontraktor Elektrik untuk melaksanakan sistem pendawaian elektrik di rumah-rumah kediaman sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

Panduan ini dibuat secara ringkas dan padat bertujuan untuk memudahkan sistem pendawaian elektrik di bangunan-bangunan kediaman dibuat dengan sempurna dan selamat untuk digunakan bagi menepati keperluan asas pendawaian.

Panduan ini juga berguna kepada pemunya bangunan kediaman atau pepasangan pendawaian supaya keperluan pendawaian elektrik yangsempurna dan selamat di kediamannya dapat dikenali.Semoga dengan adanya panduan ini, ianya dapat memastikan semua pendawaian elektrik dapat dibuat berpandukan kepada kaedah dan peraturan keselamatan pendawaian yang betul serta dapat mengelakkan daripada sebarang kemalangan elektrik yang mungkin akan berlaku. Keperluan keselamatan dalam kerja-kerja pendawaian elektrik hendaklah dipatuhi bagi mengelakkan apa-apa kemalangan sama ada yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal, kehilangan nyawa atau harta benda.

Untuk penerangan lanjut mengenai panduan ini, klik di sini

339 Kemalangan Elektrik Dicatat Dari 2002 Hingga 2007

JOHOR BAHARU, 28 Feb (Bernama) — Suruhanjaya Tenaga merekodkan 339 kemalangan elektrik di seluruh negara sepanjang tahun 2002 hingga 2007.

Naib Presiden (Penghantaran) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ir Ab’llah Mohd Salleh berkata sebanyak 171 kes yang berlaku sepanjang tempoh itu melibatkan kemalangan maut manakala 168 kes tidak membawa kematian.

“Sebanyak 37 kemalangan maut dicatat setiap tahun dari tahun 2005 hingga 2007,” katanya ketika merasmikan kempen kesedaran keselamatan elektrik 2009 peringkat Negeri Johor di sini, Sabtu.

Beliau berkata statistik kemalangan maut 2002-2006 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga turut menunjukkan pelajar sekolah merupakan golongan ketiga selepas kontraktor dan pekerja sendiri yang menjadi mangsa.

Ab’llah berkata kempen kesedaran sebagaimana yang diadakan hari ini bertujuan menyalurkan maklumat dan memupuk kesedaran yang positif mengenai kepentingan menjaga keselamatan elektrik.

Beliau berkata pada tahun lepas program seumpama itu diadakan di 10 daerah di Zon Utara, Tengah, Selatan dan Timur melibatkan hampir 150 buah sekolah rendah dan menengah.

— BERNAMA